CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Selasa, 12 Mei 2009

Terimalah hakikat wahai ibu bapa....

Semasa menjalani Program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di sekolah lama saya dahulu, iaitu SK Abang Man, Simunjan, satu perkara menarik perhatian saya dan telah saya usulkan kepada pensyarah subjek Perkembangan Kanak-Kanak saya di institut.

Semasa membuat pemerhatian di dalam kelas bersama guru yang mengajar, tingkah laku seorang pelajar benar-benar telah menarik perhatian saya. Ketika membantu guru tersebut membantu pelajar-pelajarnya membuat latihan yang diberikan, saya telah menghampiri pelajar yang saya perhatikan seawal saya masuk ke kelas tersebut. Pelajar tersebut sentiasa diam dan seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri. Matanya sememangnya melihat dihadapan memerhatikan guru tersebut mengajar dan mengikut arahan guru. Mungkin pelajar ini mengikut tingkah-laku rakan-rakannya yang lain tanpa memahami apa sebenarnya yang dilakukan oleh rakan-rakannya yang lain.

Semasa membuat latihan juga saya perhatikan pelajar ini melakukan apa yang diingininya dan tidak mengikut arahan yang diberikan oleh guru tersebut. Mungkin pada pandangan anda para pembaca ianya adalah situasi biasa bagi seorang kanak-kanak. Tetapi, keadaan ini berbeza dari sudut pendidikan dan perubatan. Pelajar ini merupakan pelajar yang tergolong dalam golongan kanak-kanak berkeperluan khas.

Saya menghampiri pelajar itu dengan niat mahu berinteraksi dengannya. Tetapi, reaksi yang saya dapat daripada pelajar itu jauh berbeza dari apa yang saya harapkan. Pelajar itu terus membisu dan hanya melihat saya dengan pandangan yang saya tidak dapat tafsirkan. Saya tabahkan hati mengajar dan membantu pelajar itu berkenaan apa yang sepatutnya dilakukannya dengan cara paling mudah untuk difahami olehnya dan akhirnya pelajar itu dapat melakukannya sedikit demi sedikit mengikut penerangan yang saya berikan. Tidak lama selepas itu, pelajar tersebut mengulangi kesilapan yang sama. Kali ini saya duduk bersebelahan pelajar itu dan mengawasinya sepanjang masa dia menyiapkan latihannya itu sehingga dia selesai melakukannya. Akhirnya, saya membuat kesimpulan bahawa pelajar ini tidak sama seperti pelajar lain dan perlu perhatian yang lebih dan pelajar ini tidak seharusnya belajar di kelas biasa seperti kanak-kanak lain kerana pelajar ini memerlukan bantuan khas bagi memastikan dia tidak ketinggalan dengan pelajar lain.

Selepas tamat waktu persekolahan, saya bertemu dengan salah seorang guru dan pembantu di kelas itu. Tujuannya hanya satu, untuk bertanya keadaan pelajar itu sepanjang pelajar itu berada di kelas itu. Jawapan yang saya terima bertepatan dengan sangkaan saya iaitu pelajar itu sememangnya pendiam dan guru-guru yang mengajar di kelas itu juga tidak pernah mendengar suaranya di dalam kelas. Pelajar itu hanya akan berada di dalam dunianya sendiri tanpa menghiraukan orang lain. Tingkah lakunya hanya berpandukan apa yang dilakukan oleh rakan-rakannya yang lain. Selepas mendengar penjelasan mereka, saya beredar dengan pelbagai andaian dan kemungkinan masalah yang dihadapi pelajar itu. Sebelum beredar, sempat juga saya berpesan agar guru tersebut memaklumkan kepada ibu bapa pelajar itu akan masalah anak mereka itu. Jawapan yang saya terima tidak memeranjatkan saya kerana menurut ibu bapa pelajar itu, anak mereka tidak mempunyai masalah apa-apa dan mereka tidak mahu mengambil tindakan susulan terhadap anak itu. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk bertanyakan pensyarah saya semasa kembali ke institut.

Semasa berbincang dengan pensyarah saya berkenaan masalah pelajar tersebut, apa yang saya andaikan adalah tepat. Pelajar tersebut merupakan kanak-kanak berkeperluan khas yang memerlukan pembelajaran di kelas khas atau sekolah pendidikan khas. Mendengar penjelasan yang diberikan oleh pensyarah saya itu, saya rasa terpanggil untuk bertemu dengan orang tua kepada pelajar itu kerana jika tidak dididik di landasan yang betul, pelajar itu tidak akan mampu memperkembangkan potensi dirinya untuk lebih maju dan berjaya.

Apa yang amat saya kesali, ibu bapa pelajar ini seolah-olah tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka istimewa berbanding anak-anak lain di sekolah. Apalah salahnya jika anak tersebut dibawa berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan laporan doktor untuk membolehkan anak tersebut belajar di kelas khas kerana sekolah tersebut mempunyai kelas khas untuk pelajar-pelajar berkeperluan khas ini. Terimalah hakikat wahai ibu bapa...Anak itu anugerah Allah untuk dipelihara dan dijaga mengikut apa yang sepatutnya mereka dapati kerana itu adalah hak mereka. Jangan dibiarkan anak itu terumbang-ambing tanpa mengenal erti apa-apa. Ibu bapa seharusnya mempunyai kesedaran akan hal ini. Perkara ini tidak perlu bagi ibu bapa berasa malu kerana ini adalah cabaran bagi ibu bapa membesarkan anak-anak istimewa ini. Allah hanya mahu menguji ketabahan kita sebagai hambanya. Berfikir positiflah demi kebaikan anak-anak. Sesungguhnya anak-anak ini tidak mencemarkan maruah ibu bapa. Jangan korbankan apa yang sepatutnya mereka dapat hanya kerana diri kita dan kehendak kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan